‘Saya belajar Inggeris dengan baca buku’, Syed Saddiq sindir Mat Sabu?

0
859

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam memuatnaik ciap di Twitter yang dianggap pengikutnya sebagai sindiran terhadap insiden Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menjawab soalan wartawan asing di Singapura.

Walaupun ciap berkenaan dibuat secara umum, namun terdapat pengikutnya yang percaya ia ditujukan kepada insiden berkenaan.

“Saya belajar bahasa Inggeris dengan membaca buku. Ibu sering memberi penghargaan kepada sikap yang baik dengan membelikan buku,” ciapnya di laman sosial itu.

Mohamad yang juga terkenal dengan gelaran Mat Sabu mencuri tumpuan selepas video memaparkan jawapannya kepada media dalam satu soal jawab sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18, Dialog Shangri-La (SLD) di Singapura menjadi bahan jenaka dan tular di media sosial sejak semalam.

Rakaman klip video berdurasi tiga minit itu memaparkan Mohamad menjawab pertanyaan media antarabangsa mengenai isu-isu serantau terutamanya melibatkan keselamatan.

Seorang wartawan terkenal, Aaron Connelly kemudiannya memuatnaik jawapan Mohamad itu di Twitter sehingga mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata mempersoalkan kualiti jawapan menteri dari Malaysia itu.

Mohamad juga menjadi tumpuan apabila menggunakan istilah ‘him’ untuk merujuk Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden yang merupakan seorang wanita.

Tidak kurang juga yang menjadikannya bahan jenaka apabila Mohamad menyebut dalam kenyataannya bahawa Malaysia berkongsi Sempadan dengan China.

Ciap Syed Saddiq itu mendapat perhatian pengikutnya yang bersetuju dengan pandangan bahawa membaca buku akan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris seseorang.

Namun, ada kalangan mereka yang percaya ciap itu ditujukan kepada Mat Sabu.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here