Akhirnya Rakan Sekerja Arwah Konstabel Norhalim Dihadap Ke Mahkamah Sibu

0
5762
konstabel bunuh arwah norhalim tumiran

SIBU – Seorang konstabel polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana membunuh seorang rakan sekerjanya awal bulan ini.

Konstabel Muhamad Nur Alif Mazlan, 28, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu terhadap Konstabel Norhalim Tumiran, 24, di sebuah rumah bernombor 8A, Lorong Permai Timur 9, di sini antara 5.45 pagi dan 6.30 petang pada 6 Mei.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli, yang menetapkan kes itu untuk disebut semula pada 6 Julai.

Dua lagi konstabel berusia 21 dan 23 tahun, yang juga telah ditangkap dan disiasat di bawah Kanun yang sama, dibebaskan oleh mahkamah dan akan menjadi saksi pendakwaan untuk kes tersebut.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Zulfadhli Tuah dan Rex Yi Min manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

jenazah norhalim tumiran dibawa pulang ke kampung halaman
Terdahulu, tertuduh dan rakan-rakan sekerjanya itu yang memakai pakaian lokap berwarna oren dibawa masuk ke mahkamah oleh sekumpulan anggota polis termasuk Timbalan Ketua Polis Sibu, Superintendan Collin Babat.

Pada kejadian 6 Mei lalu, Norhalim ditemui terduduk di sofa di rumah itu dengan kesan tembakan pada kepalanya.

[BACA: Luahan Status Terakhir Arwah Konstabel Norhalim Undang Sebak]

Mangsa, yang telah mempunyai isteri dan seorang anak, baru berpindah ke rumah transit di Ibu Pejabat Polis Sibu, selepas menamatkan latihan asas sebagai seorang anggota polis.

Beliau dikatakan telah ke rumah tersebut yang disewa oleh tertuduh dan dua lagi konstabel polis tersebut, untuk bermain permainan komputer sementara menunggu waktu berbuka puasa, sebelum kejadian itu berlaku.

Ketiga-tiga konstabel itu, kesemunya berasal dari Semenanjung Malaysia kemudiannya ditangkap dan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Jenazah mangsa kemudiannya dibawa pulang ke kampungnya di Felda Bukit Damar, Lanchang di Temerloh, Pahang untuk dikebumikan. – Bernama