Akibat Katil dirapatkan ke tingkap tak berjeriji, Bayi 11 bulan maut jatuh dari tingkat tiga Flet

0
3556

Malang tidak berbau. Itu nasib menimpa seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga Projek Perumahan Rakyat Sri Aman di ibu kota, pada petang Ahad.

Menurut laporan Astro Awani, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang bermain di atas katil bersama abang, kakak dan sepupunya bersebelahan dengan tingkap dalam bilik rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati tingkap berkenaan tidak mempunyai jeriji dan katil diletakkan berdekatan tanpa sebarang halangan.

“Pengadu memaklumkan katil itu telah dirapatkan ke tingkap untuk mengemas bilik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Eng Lai berkata, ibu mangsa telah membawa bayi tersebut ke Hospital Selayang  bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Meninjau ke laman Facebook, seorang lelaki dipercayai bapa mangsa ada berkongsi kompilasi gambar berbentuk video bagi mengenang kehilangan anak kesayangannya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Aryy Ariffin yang dipercayai kenalan dekat keluarga mangsa turut berkongsi beberapa posting meluahkan perasaan hiba atas pemergiaan bayi comel berkenaan.

Hasil laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sumber: Astro Awani , Facebook Mohd Hazlan & Aryy Ariffin

Ohmymedia