Cikgu Kaunseling Kena tikam Dengan Pelajar Tingkatan 5

0
646

Tertekan bakal dikenakan hukuman punca pelajar tikam guru

Pelajar Tingkatan Lima yang menikam guru kaunselingnya, kelmarin dipercayai berasa tertekan selepas dimaklumkan akan dikenakan tindakan mengikut peraturan di sekolah dan asramanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Azizan Tukiman, berkata berikutan itu suspek berdendam dengan guru terbabit yang juga warden asrama sekolah itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek juga gagal beberapa mata pelajaran dalam peperiksaan yang dijalankan sebelum cuti penggal persekolahan bulan lalu.

“Disebabkan tidak puas hati dan terlalu tertekan, suspek menunggu mangsa di luar pejabat guru itu yang berada di tingkat bawah asrama.

“Ketika mangsa hendak masuk ke dalam pejabatnya, suspek bertindak menyerang serta menikam mangsa dengan pisau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Azizan berkata, ketika pihaknya sampai ke lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 malam, pisau yang digunakan menikam mangsa berusia 30 tahun itu masih tertanam di bahunya.

“Susulan kejadian ini, suspek berusia 17 tahun direman lima hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, BH melaporkan seorang pelajar yang dalam proses menerima hukuman akibat masalah disiplin bertindak menikam guru kaunselingnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati dengan guru terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here