Dadah RM5.2 bilion dirampas, Rampasan terbesar dalam sejarah Malaysia

0
1098
rampasan dadah terbesar Malaysia RM 5.2 billion

Pihak berkuasa Malaysia berjaya melumpuhkan kartel dadah antarabangsa sekali gus merampas dadah jenis amphetamine dengan nilai RM5.2 bilion, terbesar dalam sejarah rampasan dadah Malaysia.

rampasan dadah terbesar  Malaysia RM 5.2 billion
Ia hasil kerjasama Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui perkongsian maklumat perisikan dengan Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

JKDM dalam satu kenyataan memaklumkan kartel pengedaran dadah antarabangsa itu melibatkan pil captagon yang disyaki mengandungi dadah jenis amphetamine di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Hasil pembongkaran menjumpai anggaran sebanyak 94.8 juta biji pil captagon disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamie dengan berat kasar dalam anggaran sebanyak 16 tan dan dianggarkan bernilai RM5.2 bilion yang disorokkan di dalam tayar troli.

“Siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut tiba dari sebuah negara di Timur Tengah dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Timur.

“Rampasan 16 tan pil captagon yang dianggarkan bernilai RM5.2 billion pada tahun ini merupakan rampasan dadah terbesar yang pernah direkodkan oleh JKDM setakat ini,” memetik kenyataan itu.

Untuk rekod sepanjang tahun 2018, JKDM telah merampas sebanyak 3.35 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM160 juta, manakala bagi tahun 2019, JKDM telah merampas sebanyak 4.75 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM790 juta dan pada tahun 2020, JKDM telah merampas sebanyak 2.86 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM117 juta.

JKDM memaklumkan kejayaan itu adalah hasil kerjasama sekali gus merupakan suatu kejayaan terbesar dalam memerangi kartel dadah antarabangsa.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Justeru, orang ramai digesa untuk membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

sumber: Astro Awani