Kalah PRK Tanjung Piai, Syed Saddiq Minta Maaf

0
2158

“KEMARAHAN ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf.”

Demikian komen Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di akaun Twitter peribadinya berhubung kekalahan besar PH pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Syed Saddiq mengakui kekalahan itu pahit untuk ditelan namun itu adalah suara rakyat.

“Suara rakyat, suara keramat. Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada seluruh belia Malaysia di atas segala kekurangan saya,” katanya.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi sehingga penjumlahan tamat, malam ini.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian, 9.15 malam ini.

Keputusan rasmi itu menunjukkan Jeck Seng menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi.

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini Ahli Parlimen Tanjung Piai sekali gus merampas kembali jawatan pernah disandang bagi dua penggal sebelum ini.

Seramai 52,471 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Enam calon terbabit, calon Pakatan Harapan (PH) dari BERSATU, Karmaine Sardini, 66; calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon (GERAKAN), Wendy Subramaniam.

Turut bertanding Presiden BERJASA, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya kecil kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14, Mei tahun lalu.

 

-hmetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here