Awas! Polis dah pakai kereta baru.. Lengkap teknologi terkini, siap ada perakam video

0
1207

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima 425 Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) jenis Honda Civic 1.8 untuk tugasan rondaan, secara berperingkat sehingga Julai ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya kenderaan yang dilengkapi peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka (dashcam) dan perakam video digital mudah alih itu disewa secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn Bhd selama lima tahun melalui peruntukan mengurus tahun 2020.

Menurut kenyataan KDN sempena majlis penyerahan 30 MPV berkenaan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini,  PDRM juga akan menerima 850 lagi kenderaan peronda, meliputi 197 model Proton X70 1.8 dan 653 model Honda Civic 1.8 bagi tujuan penggantian kenderaan sedia ada bermula Julai hingga September ini.

“Pembekalan kenderaan peronda baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini ini akan dapat meningkatkan lagi kecekapan PDRM dalam melaksanakan tugasan,” kata KDN.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata MPV berkenaan akan menggantikan kenderaan peronda polis yang telah usang dan tidak lagi selamat digunakan serta dapat mengurangkan perbelanjaan menyelenggara kenderaan usang sedia ada yang tinggi.

“Kenderaan ini yang memang sangat diperlukan ketika ini. Sudah lama kita terpaksa menggunakan kenderaan berusia…
“…jadi dengan adanya kenderaan baharu ini kita akan dapat meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan kepada masyarakat,” ujarnya.

Abdul Hamid berkata PDRM dimaklumkan ratusan lagi kenderaan termasuk lori pengangkut, kenderaan Black Maria dan motosikal untuk polis trafik akan turut diperolehi.

Sumber : Bernama

Source link