Lagi Kes Kanak-kanak Mati Tertinggal Dalam Kereta Selepas Lima Jam Ditinggalkan di luar Tadika

0
480
kanak-kanak meninggal dalam kereta

Sungai Petani: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas lebih lima jam ditinggalkan dalam kereta yang dipandu pengetua tadika di Taman Ria, di sini, semalam.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa adalah anak kedua daripada dua beradik.

Katanya, mangsa sudah hampir setahun dihantar ke tadika itu untuk dijaga pengasuh di situ.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengetua tadika iaitu wanita berusia 49 tahun akan mengambil mangsa dari rumah ibu bapanya ke tadika pada Ahad hingga Khamis.

“Namun, selepas PKP, pada Selasa dan Rabu, pengetua wanita itu akan mengambil dan menghantar mangsa manakala hari lain mangsa dihantar sendiri ibunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati pada 7.45 pagi semalam, pengetua tadika itu mengambil mangsa di rumahnya di Taman Ria, di sini.

Beliau berkata, mangsa ketika itu dalam keadaan sihat dan duduk di tempat duduk belakang.

“Sebelum itu, pengetua terbabit turut mengambil seorang pelajar lain yang berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.

“Namun sebaik tiba di hadapan tadika, seorang guru mengambil pelajar yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika. Dia memakir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta,” katanya.

Adzli berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai berada dalam kereta itu dari 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.

“Kejadian itu hanya disedari pada 12.15 tengah hari ketika pengetua mahu menghantar semula mangsa ke rumah, namun mendapati mangsa tiada di dalam kelas.

“Guru kelas memberitahu mangsa tidak hadir ke sekolah menyebabkan wanita itu terus menuju ke arah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.

Adzli berkata, berikutan itu pengetua terbabit bertindak menghubungi ambulans dan melaksanakan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa namun mangsa tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans dan hasil pemeriksaan doktor memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan tiada kesan kecederaan di luaran.

“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dipanggil untuk pengambilan sampel dan dapat satu sampel swab di atas kerusi penumpang belakang.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, polis menahan pengetua wanita itu untuk membantu siasatan dan merampas anak kunci serta kereta untuk tindakan lanjut.

sumber: hmetro