Home JENAYAH Majoriti Mangsa Ugut Sebar Video dan Gambar Lucah Adalah Pelajar IPT –...

Majoriti Mangsa Ugut Sebar Video dan Gambar Lucah Adalah Pelajar IPT – Ketua Polis PJ

0
212
jenayah pemerasan

KUALA LUMPUR: Polis menerima 21 laporan berhubung jenayah pemerasan atau ugutan menyebarkan gambar bogel serta video lucah di sekitar Petaling Jaya, Selangor sejak Januari hingga kini.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, daripada jumlah itu dua kes telah dituduh di mahkamah manakala 19 kes lagi masih dalam siasatan.

Katanya majoriti mangsa merupakan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

 

“Sebanyak 12 mangsa terlibat telah membuat pembayaran kepada suspek sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM33,788.88.

 

“Sebahagian besar kes membabitkan sindiket yang memperdaya mangsa di media sosial selain suspek terdiri daripada individu dikenali mangsa seperti bekas suami atau teman lelaki.

 

“Modus operandi sindiket memperdayakan mangsa tidak kira lelaki atau wanita untuk berkongsi gambar bogel atau video lucah di laman media sosial dan aplikasi termasuk WeChat, Facebook, WhatsApp, Michat dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

 

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, sindiket kemudian akan merekodkan gambar dan video berkenaan sebelum memeras ugut mangsa dengan meminta wang sekiranya tidak mahu ia disebarkan di media sosial atau kepada ahli keluarga mahupun rakan mangsa.

 

“Polis ingin menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat dengan pelbagai cara dibuat suspek melalui aplikasi-aplikasi berkenaan.

 

“Masyarakat perlu bijak menggunakan media sosial dan diingatkan sebarang aksi langsung di media sosial akan mudah dirakam oleh pihak kedua,” ujarnya.

 

Justeru itu, masyarakat digesa tidak mudah mempercayai orang yang baru dikenali melalui media sosial kerana ramai yang telah menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini.

-awani