Neelofa, PU Riz dan rakan-rakan berjaya kutip RM2 juta kempen donate Palestin

0
335
neelofa

SITUASI getir yang berlaku di negara bergolak, Palestin baru-baru ini telah mengundang simpati ramai umat Islam di dunia.

Ramai yang mengulurkan bantuan bagi meringankan beban dan kemusnahan yang berlaku akibat pertempuran dengan tentera Zionis yang berlanjutan sehingga 11 hari.

Tidak terkecuali, golongan selebriti tanah air turut sama bersimpati dan telah membuat satu kutipan kempen Donate 4 Palestin yang dijalankan sejak 9 Mei lalu itu sudah mencapai hasil kutipan sebanyak RM2 juta.

Difahamkan, hasil sumbangan orang ramai itu akan disalurkan buat rakyat Palestin bagi kos perubatan, kemanusiaan dan keperluan kecemasan lain.

Ia merupakan satu inisiatif yang dijalankan pihak Jomdonate untuk kempen Donate 4 Palestine dengan kerjasama beberapa pertubuhan badan kerajaan (NGO) seperti Muslim Care, Pertubuhan Kasih Neelofa serta rakan-rakan artis dan influencer.

Antara selebriti yang terlibat termasuklah, Neelofa, PU Riz, Wany Hasrita, Amira Othman, PU Amin dan ramai lagi yang turut terlibat dalam bantuan kemanusiaan ini.

Bagi PU Riz, apa yang dibuat bukan semata-mata untuk memberikan bantuan, sebaliknya ia sebagai bukti kasih sayang dan keprihatinan sesama saudara Islam.

“Mari kita bersama-sama bantu mereka dengan menghantar sumbangan dan menginfaqkan harta kita ke jalan Allah SWT sebagai tanda sokongan kita kepada mereka.

“Doa juga adalah senjata bagi umat Islam, maka kita jangan berhenti berdoa untuk saudara kita disana agar mereka terus kuat dan sentiasa dilindungi Allah.

“Setiap wang ringgit yang disumbangankan ini mungkin kecil pada kita, tetapi ia amat besar pada mereka yang memerlukan. Mungkin juga ia boleh menjadi asbab untuk kita mudah masuk ke syurga, insya-Allah.

“Semoga dengan bantuan anda dapat memberi sinar harapan buat saudara Islam kita di sana. Semoga setiap nilai yang dikeluarkan untuk meringankan beban mereka, Allah SWT memudahkan urusan seharian kita semua,” ujarnya.

Difahamkan, bantuan kemanusiaan mula memasuki Semenanjung Gaza susulan pengumuman gencatan senjata Israel dan Hamas selepas pertempuran selama 11 hari.

Konvoi lori membawa bantuan mula memasuki pintu masuk Kerem Shalom selepas ia dibuka semula oleh rejim zionis Israel.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza selama 11 hari itu menyebabkan 248 penduduk Gaza terkorban termasuk 66 kanak-kanak, sejak 10 Mei lalu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh klik pada pautan DONATE https://jomdonate.com/campaigns/190. – utusan