PDRM Kenal Pasti Calon Timbalan Ketua Polis Negara

0
105

 

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dan menyenarai pendek nama calon untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya telah menyerahkan senarai nama berkenaan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk dipertimbangkan.

”SPP akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan saya.

“Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara ini perlu disegerakan untuk membantu saya dalam menguruskan PDRM. Mesyuarat SPP akan berlangsung untuk menentukan siapa Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini hari ini.

Acryl Sani berkata pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara itu dijangka diumum selepas Aidilfitri.

Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang sebelum ini disandang Acryl Sani kosong berikutan pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak perkhidmatan pada 3 Mei.

Sebelum ini, antara nama yang disebut-sebut mengisi kekosongan jawatan itu berdasarkan kekananan ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Datuk Zamri Yahya; Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Ramli Din; dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Razarudin Hussain.

Sementara itu, mengulas mengenai pendedahan Abdul Hamid berhubung dakwaan campur tangan menteri dalam Cawangan Khas Bukit Aman, Acryl Sani berkata kertas inkuiri (siasatan dalaman) polis berhubung kes itu telah dibuka.

Beliau berkata sehingga kini, PDRM menerima enam laporan polis di seluruh negara berhubung kes berkenaan dan satu daripada laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Sekarang ini, PDRM dalam proses mengumpul keterangan dakwaan itu dan jika perlu kami akan panggil pihak terlibat,” katanya.

Acryl Sani berkata kebiasaanya kesalahan salah guna kuasa atau rasuah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun polis tetap akan menjalankan siasatan.

Baru-baru ini, media melaporkan Abdul Hamid mendedahkan mengenai campur tangan menteri dalam Cawangan Khas Bukit Aman untuk kepentingan politik.

— BERNAMA

Source link