Ramai Yang Nak Tahu PKPB Tamat Atau disambung Lagi? Ini Pandangan KKM

0
1398
PKPB tamat atau disambung

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung atau ditamat, soalan banyak ditanya ketika ini dan menjadi perbualan ramai.

PKPB tamat atau disambung?

Sebelum ia dijawab, mari kita lihat situasi jangkitan COVID-19 di negara ini pada masa ini.

Kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat tempatan semakin menurun dan kekal satu atau dua digit. Ia menepati unjurun KKM dan faktor menyumbang Ketepatan unjuran ini ialah kepatuhan rakyat Malaysia kepada SOP.

 

PKPB ditamatkan

Syabas kepada kita semua dan terima kasih kepada pasukan keselamatan seperti PDRM, ATM, APM dan Rela yang tegas terhadap segelintir yang ‘ketegaq’.

Namun, kepatuhan kita tidak selari dengan warganegara asing atau lebih khusus pekerja asing. Bagi warganegara asing yang ditahan di depoh tahanan, kita tidak perlu risau kerana dalam kawalan pihak berkuasa.

Kes dalam kalangan pekerja asing ini terus meningkat kerana mereka tidak patuh SOP. Mereka hanya patuh SOP di tempat kerja tapi tidak apabila di tempat tinggal.

Kita tidak boleh salahkan mereka kerana terpaksa tinggal berasak di ruang sempit. Mereka tiada pilihan.

Lihat PKPB dijadual tamat, khabar gembira tetap dinanti rakyat

Mereka adalah pekerja asing yang datang ke negara kita kerana faktor kemiskinan. Jika diberi pilihan, sudah tentu mereka mahu berada bersama keluarga di negara sendiri. Tiada siapa pilih hidup dalam kesusahan.

Jangan anggap peningkatan kes pekerja asing bukan masalah kita. Pekerja asing dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Indonesia ini sudah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat kita.

Hanya sebahagian kecil yang tinggal di tempat yang disediakan majikan seperti tapak pembinaan bagi sektor pembinaan. Manakala pekerja asing sektor lain, sebahagian besar tinggal di kejiranan kita.

Ada yang bergaul mesra dengan kita, membeli barang keperluan di pasar raya sama dengan kita, bagi yang Islam, solat berjemaah dengan jemaah tempatan.

Mereka sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat kita. Peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja asing ini turut menjadi masalah kita. Apatah lagi, mereka mendapat jangkitan ini di negara kita.

Peranan kecil yang kita boleh mainkan ialah memastikan mereka mematuhi SOP jika di tempat awam.

Peranan lebih besar perlu dimainkan majikan. Penjarakan sosial di tempat tinggal pekerja asing ini menuntut pengorbanan kewangan kerana majikan perlu sediakan lebih banyak tempat tinggal supaya pekerja ini ada ruang untuk penjarakan sosial dan meningkatkan kebersihan.

Di kala ini, kita semua sama ada majikan atau pekerja biasa perlu main peranan untuk membantu negara demi kelangsungan hidup kerana wabak ini telah menjejaskan kehidupan setiap orang.

Dan selagi kes pekerja asing terus meningkat, walaupun hanya satu kes ia patut jadi kerisauan kita.

Kepatuhan SOP oleh rakyat tempatan dan bukan tempatan perlu seiring. Bila tidak seiring, dua-dua pihak tidak boleh hidup selesa.

Peranan KKM ialah mengesan pekerja asing yang dijangkiti COVID-19 dan merawat mereka sehingga sembuh. Selepas sembuh, mereka kembali ke tempat tinggal. Risiko jangkitan semula boleh berlaku jika tiada penjarakan sosial di rumah dan amalan kebersihan yang tinggi.

Jangkitan terus berlaku dan berlaku jika tindakan komitmen semua pihak untuk meminimakan kes pekerja asing ini.

Adakah kita sebagai rakyat tempatan boleh rasa lega jika kes pekerja asing masih tinggi? Sudah tentu tidak kerana diulangi, mereka sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat kita.

Lihat kluster masih aktif melibatkan pekerja asing yang juga menjangkiti rakyat tempatan seperti Kluster Pedas, Kg Sg Lui, Jalan Chow Kit, Pasar Besar Jalan Othman, Pengawal Keselamatan Cheras, Selangor Mansion Pasar Borong KL dan Pudu.

Malah, kluster paling baru dikesan, Pangsapuri Cheras turut merekodkan satu kes positif pekerja asing.

Jika PKPB ditamatkan, KKM perlu pastikan jangkitan dalam pekerja asing terkawal kerana risiko ia merebak kepada rakyat tempatan adalah tinggi.

Memang benar virus ini tidak boleh dihapus sepenuhnya. Mengawal kes rakyat tempatan dan pekerja asing sehingga tahap paling minima adalah satu keperluan untuk kita sama-sama kita jalani hidup seterusnya. Life must goes on.

Adakah PKPB ditamat atau disambung? Tiada siapa boleh jawab kecuali Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Sama-sama kita nantikan pengumuman sebelum hari terakhir, 9 Jun ini.

Sumber : admin- Facebook KKM

Lihat PKPB dijadual tamat, khabar gembira tetap dinanti rakyat

Malaysia dilihat semakin menghampiri situasi bebas COVID-19 apabila kes positif terus menunjukkan penurunan, sekali gus membolehkan pembukaan beberapa sektor ekonomi lagi untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Menuju kira-kira enam hari sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijadual berakhir, negara terus mencatatkan hanya satu digit kes COVID-19 untuk tiga hari berturut-turut sekali gus memberi petanda penularan wabak itu dapat dikawal pihak berkuasa.

Mana tidaknya, pada Selasa, hanya lima dari 20 kes baharu membabitkan penularan tempatan dalam kalangan warganegara, selain pada Isnin (enam dari 38) dan Ahad (empat dari 57).

Selain itu, rakyat Malaysia juga mungkin boleh berbangga kerana tiada kes kematian dicatatkan pada Selasa, untuk 11 hari berturut-turut, seolah-olah memberi petanda bahawa Malaysia dalam landasan tepat ke arah fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas berhasil memutuskan rangkaian penularan kes baharu COVID-19.

Perkara ini jika diimbas kembali, pernah didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu wawancara dengan Bernama pada 30 Mei yang antara lain menyebut kebolehjangkitan COVID-19 semakin hari semakin berkurang dan jika ini berterusan, ia akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.

Petanda baik ini membolehkan kerajaan pada Selasa mengumumkan bahawa pasangan berbeza negeri yang ingin melangsungkan pernikahan dibenarkan rentas negeri bagi tujuan akad nikah sepanjang tempoh PKPB.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun majlis itu perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, selain memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan melakukan penggambaran praperkahwinan di tempat terbuka, juga mengikut SOP ditetapkan.

Turut dibenarkan adalah aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan mulai 10 Jun ini.

Selain itu, kerajaan juga kini membenarkan baki lebih 6,000 taman asuhan kanak-kanak (taska) beroperasi kembali dan boleh merujuk SOP disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Sabtu ini juga dinanti ramai, apabila satu mesyuarat khas dijadualkan berlangsung bagi membincangkan beberapa lagi SOP yang akan ditampilkan, antaranya berkaitan aktiviti jualan pasar malam, aktiviti keagamaan di rumah ibadat dan perkhidmatan kedai gunting rambut.

Tiada salahnya untuk rakyat berharap akan pelbagai lagi khabar gembira menanti mereka, kerana pematuhan rakyat terhadap SOP PKPB sememangnya semakin meningkat, jika dilihat kepada fakta bahawa tiada kompaun ziarah perayaan Aidilfitri dikenakan setakat ini.