Sudah tiada jodoh, majlis kahwin Nurazura dibatal..

0
26


“SUDAH tiada jodoh, pilihan terbaik adalah membatalkan pernikahan dan majlis jemputan jamuan perkahwinan adik, Nurazura Mahmod, 25, di saat akhir, ujar kakaknya, Zalizah Mahmod, 41.

Nurazura sebelum ini dilaporkan hilang sejak 27 November lalu oleh ahli keluarganya sebelum ditemui selamat di bandar Segamat di sini oleh anggota polis, jam 10 pagi, kelmarin.

Kehilangannya mencetuskan tanda tanya berikutan dia bakal melangsungkan perkahwinan Jumaat ini dan semua kelengkapan perkahwinan sudah diatur.

Zalizah berkata, pembatalan majlis perkahwinan adiknya itu mungkin dianggap sejarah hitam, tetapi terpaksa dilakukan demi kebaikan dan masa depan semua pihak.

“Punca kehilangan adik menjadi penyebab utama pembatalan majlis pernikahan namun biarlah ia menjadi rahsia keluarga kedua-dua pihak.

“Keluarga kami tabah dan reda terhadap implikasi akan dihadapi susulan pembatalan majlis itu apatah lagi ia dilakukan pada saat akhir,” katanya.

ZALIZAH menunjukkan barang hantaran majlis perkahwinan Nurazura (gambar kecil) di Felda Pemanis, Segamat.

Menurutnya, isu itu tidak perlu dipanjangkan demi menjaga nama kedua-dua keluarga yang terbabit,” katanya ditemui di Felda Pemanis di sini, semalam.

Menurutnya, keluarganya sudah mengembalikan sebahagian wang hantaran kepada keluarga lelaki selain pelbagai barangan hantaran.

“Malah, pelbagai barangan kering untuk dimasak ketika majlis kenduri kahwin itu juga dikembalikan kepada peruncit.

“Keluarga sangat menghargai dan bersyukur kerana keluarga bekas tunang adik menerima ketentuan itu dengan hati terbuka melalui rundingan hati ke hati.

“Keluarga pihak lelaki turut melakukan pelbagai persiapan terakhir majlis menerima menantu yang dijadualkan pada 8 Disember ini,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka menerima dengan hati terbuka jika menerima kecaman pelbagai pihak melalui pelbagai medium media sosial dan menganggap ia ketentuan Ilahi.

 

TERDAHULU, dilaporkan bakal pengantin perempuan ini tiba-tiba ‘ghaib’ walaupun tarikh akad nikahnya dijadualkan akan berlangsung di FELDA Pemanis di Segamat pada 6 Disember ini dan majlis persandingannya sehari selepas itu.

Tidak tahu puncanya, ketika segala persiapan diuruskan keluarganya termasuk surat jemputan sudah diedarkan dan kelengkapan kenduri, Nurazura Mahmod, 25, secara tiba-tiba hilang.

 

Nurazura dikatakan bersetuju bertunang dengan bakal suaminya itu, Ruzainizan Paiman, 27, yang juga penduduk tempatan kira-kira dua tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya apatah lagi ayah kandung, Mahmod Shahri yang bakal mewalikan pernikahannya kini buntu dengan kehilangan anak bongsunya.

Berkongsi situasi itu, kakaknya, Zalizah, 41, berkata, kehilangan adik bongsunya itu disedari bapa mereka pada 5.45 petang, Rabu lalu.

“Ketika itu bapa kami berasa sesuatu yang pelik kerana adik tidak menyediakan makan petang untuknya seperti dilakukan sebelum ini.

“Biasanya, adik akan membuat cekodok pisang atau nasi goreng tetapi dia tidak berbuat demikian pada hari itu,” katanya ditemui di kediaman keluarganya hari ini.

Menurutnya, bapa mereka mendapati sebahagian pakaian dan alat solek adik juga sudah tiada.

Katanya, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak bekerja dan menguruskan keluarga sejak menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lebih menghairankan dia sangat baik dan tidak pernah buat begini sebelum ini dan telefon bimbitnya turut tidak aktif sejak malam kehilangannya itu.

“Kami buntu memikirkan punca sebenar di sebalik kehilangannya sedangkan pelbagai persiapan termasuk tetamu jemputan sudah diaturkan keluarga,” katanya.

Menurutnya, Nurazura dan bakal suaminya, Ruzainizan dijadualkan dinikahkan di kediaman keluarnya itu selepas solat Asar pada 6 Disember ini.

“Pelbagai persiapan sudah tersedia antaranya barangan memasak, periuk belanga, bunga telur dan pelbagai barangan hantaran pihak kami dan lelaki yang sudah disiapkannya sendiri.

“Beberapa khemah jemputan sudah dipasang serta sebanyak 500 kad undangan dianggarkan seramai 800 tetamu sudah diedarkan sejak beberapa minggu yang lalu, selain jemputan ‘mulut’ untuk saudara terdekat,” katanya.

Menurutnya, lebih merisaukan tahap kesihatan bapa mereka semakin merosot secara tiba-tiba dan kerap mengadu sesak nafas sejak adiknya menghilangkan diri.

“Adik adalah anak yang amat bertanggungjawab dan menjaga bapa sejak ibu meninggal dunia lima tahun lalu kerana kanser.

“Dia tidak bekerja kerana menjaga bapa dalam urusan seharian, selain jarang keluar waktu malam dan kurang bersosial,” katanya.

Zalizah berkata, kucing jantan kesayangannya ‘Gemuk’ turut tidak berselera makan dan kerap memasuki bilik tidurnya sambil mencarinya seolah rindukan tuannya.

“Pelbagai perbelanjaan isi keluarga kami adik beradik berkongsi bersama dan adik jarang ingin menerima ‘duit kocek’ kerana beranggapan tanggung jawabnya secara ikhlas.

“Kami berusaha bertanyakan kepada kenalannya tetapi mereka turut tidak mengetahuinya,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Buloh Kasap pada 8.30 malam pada Khamis lalu.

Menurutnya, dia merayu agar adik kembali ke pangkuan keluarga dan mereka sekeluarga sentiasa sedia berbincang secara terbuka apa juga yang terbuku di hatinya dan sedia memaafkannya.

“Saya meminta bantuan orang ramai yang mengenali adik diminta menghubungi kami di talian 019-7243074 atau 019-7243047,” katanya.

 

Kredit: Harian Metro

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Viwanita

Like Page Kami Juga Di Facebook Viwanita



Source link

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here