(Video) Detik-Detik Cemas Dua Beranak Nyaris Dihanyutkan Arus Deras

0
773

 

IPOH, 5 Mei – Seorang ibu dan anak perempuannya bedepan detik cemas apabila terperangkap lebih sejam dengan berpaut pada kereta bagi mengelak dihanyut arus deras di Dusun Sungai Meru di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Shahrudi Muhamad Halil berkata pihaknya menerima panggilan mengenai detik mencemaskan melibatkan wanita berusia 47 tahun dan anak perempuannya yang berusia 19 tahun kira-kira jam 6 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mereka sedang berpaut di tepi sebuah kereta jenis Toyota Vios di kawasan dinaiki air deras hampir satu meter.

“Anggota bomba menggunakan dua tali penyelamat dan dua orang penyelamat menggunakan peranti pengapungan peribadi (PFD) dengan bergerak secara perlahan-lahan mengikut arus sebelum sampai kepada mangsa.

“Mangsa seterusnya diberikan PFD dan dibawa ke tempat selamat. Kedua dua mangsa selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Shahrudi, kejadian berlaku susulan hujan lebat pada petang tadi ketika mangsa hendak pulang ke rumahnya di Manjung dari Kota Raja di sini selepas menziarahi rumah besannya.

Katanya, operasi tamat pada jam 7.19 petang dan kedua-dua mangsa kembali ke rumah besannya untuk berbuka puasa manakala air telah mulai surut secara perlahan-lahan.

Sumber: Bernama

Source link